Artboard 1

Matlamat utama penubuhan Pusat Pengajian Teras (PPT), KUIS bukan hanya untuk mengendalikan kursus-kursus wajib MQA dan wajib universiti dengan lebih sistematik tetapi adalah untuk merelisasikan pentafsiran adab dalam dunia pendidikan dan kehidupan insan sejajar dengan Dasar Ta’dib KUIS melalui matapelajaran-matapelajaran teras yang telah dibangunkan. Sesuai dengan hasrat untuk membentuk pelajar KUIS yang kompeten, memahami syahadah dan mencapai tahap ‘Abidin, Zuhhad dan ‘Arifin dalam erti kata sebenar serta mencapai tahap kecintaan kepada Allah SWT, PPT berperanan penting dalam menyediakan ‘kanvas kuning’ (Islam as Core) sebagai asas pendidikan, sebelum dicorakkan dengan ‘kanvas biru’ (Core Competency) oleh fakulti masing-masing. Justeru itu, PPT berperanan utama dalam memastikan KUIS menjadi Institusi Pengajian Tinggi Islam dalam erti kata yang sebenar dan menjadikan insan KUIS sebagai insan Ta’dibi.

“Ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu. Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? Dari kedua laut itu, keluar mutiara dan marjan”. {Surah Ar-Rahman [51] : 19-22}

 Pusat Pengajian Teras (PPT) menawarkan kursus-kursus bertaraf Wajib MQA: seperti yang ditetapkan oleh Majlis Akreditasi Malaysia (MQA) bagi seluruh Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Wajib Universiti; iaitu kursus yang wajib diambil oleh semua pelajar Kolej universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang terdiri daripada komponen Modul Wajib dan Elektif Umum, serta Wajib Fakulti; yang merupakan kursus pilihan kepada pelajar seperti yang ditawarkan oleh PPT. Struktur bahagian akademik di PPT terbahagi kepada tiga jabatan iaitu; Jabatan Kefahaman dan Pemikiran Islam (JKPI), Jabatan Bahasa Pembangunan Insan (JBPI) dan Jabatan Kenegaraan dan Pengajian Ketamadunan (JKPK).

JKPI secara khusus menawarkan kursus-kursus dasar dalam pengajian dan kefahaman Islam. Kursus-kursus ini mempunyai sifat yang berbeza dalam pelbagai cabang ilmu Islam seperti aqidah, fiqh, akhlak, falsafah Islam, sejarah dan sebagainya. Ia bertujuan untuk membentuk kefahaman dasar Islam dalam diri pelajar berpandukan falsafah pendidikan Islam yang bermatlamat melahirkan insan yang baik dan soleh, memegang amanah sebagai khalifah Allah SWT serta dalam masa yang sama tidak alpa dalam menjalankan tugas sebagai abid. Kategori kursus di bawah jabatan ini ialah; Wajib MQA, Wajib Universiti dan Wajib Fakulti.

JBPI mengendalikan semua kursus-kursus bahasa seperti Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan Bahasa Jepun. Kesumua kursus bahasa adalah Wajib Universiti yang terdiri daripada komponen Modul Wajib kecuali Bahasa Mandarin dan Bahasa Jepun yang merupakan komponen Elektif Umum.

JKPK bertanggungjawab mengendalikan kursus-kursus pengajian bertaraf Wajib MQA, antaranya termasuklah; Pengajian Malaysia, Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS), Latihan Bina Insan dan Khidmat Ummah. Selain itu, jabatan ini juga menawarkan kursus Wajib Universiti seperti Bahasa Melayu/Bahasa Kebangsaan, Pengenalan Teknologi Maklumat Dalam Kehidupan Insan, serta kursus Wajib Universiti dari komponen Elektif Umum iaitu Pembangunan Potensi Insan.